Kongsi kegembiraan Aidilfitri bersama pembesar negara




Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad

 

 

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Mac. - Setiap tanggal 1 Syawal Tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas berjaya menyempurnakan kewajipan menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.


Sudah menjadi kelaziman apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tradisi kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi bagi mengukuhkan silaturahim baik dalam kalangan rakyat dan penduduk mahupun para pembesar negara dan raja yang dikasihi telah menjadi tradisi di negara ini.


Sehubungan itu, kegembiraan dan kesyukuran Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi telah dikongsi sama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam iaitu dengan berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah Hari Raya Aidilfitri para pembesar negara yang terdiri daripada Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para diplomat serta perwakilan asing di negara ini, Setiausaha-setiausaha Tetap dan para pegawai kanan kerajaan bersama isteri masing-masing di Istana Nurul Iman, hari ini.


Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta cucunda-cucunda baginda dan kerabat diraja.


Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima sembah ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan beramah mesra dengan para tetamu baginda.


Setentunya, peluang bersua muka dan merafakkan sembah Selamat Hari Raya Kehadapan Majlis baginda sekeluarga dalam kalangan para diplomat juga perwakilan asing ke negara ini pastinya akan memberikan kenangan dan pengalaman yang manis buat mereka, bahkan merupakan satu pengalaman yang jarang ditemui di negara-negara lain.


Pada majlis berkenaan, para tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah yang enak memeriahkan lagi suasana Sambutan Aidilfitri kali ini selain keindahan lampu-lampu neon dan dekorasi menarik yang menyerikan lagi ruang Istana Nurul Iman.


Pertemuan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan para pembesar negara dengan perwakilan negara sahabat mencerminkan ketulusan baginda menjadikan Sambutan Hari Raya ini sebagai titian untuk mewujudkan rasa muhibah.


Dalam masa yang sama, para pembesar negara dan perwakilan negara-negara sahabat juga berpeluang untuk beramah mesra dengan rakan sejawat yang berada pada majlis berkenaan.


Peluang berkunjung ke Istana Nurul Iman mengadap dan menjunjung ziarah ke hadapan majlis baginda dan kerabat diraja melalui hari kemenangan ini juga merupakan satu kesempatan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para pembesar negara lebih-lebih lagi para diplomat asing di negara ini yang pertama kali berpeluang merayakan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman dan berinteraksi bersama raja yang dikasihi dan dihormati serta bersua secara dekat bersama baginda.


Sememangnya kunjungan ini akan menjadi ingatan manis dan lipatan sejarah sepanjang mereka berkhidmat di negara ini.


Dengan adanya 'Istana Terbuka' bagi pembesar-pembesar negara dan perwakilan negara-negara sahabat jelas menunjukkan keikhlasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkongsi rasa syukur dan gembira bersama para tetamu selain sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.

























Close